Bulan Ramadhan kini telah masuk hari ke 5. Sungguhpun begitu, cuba fikir-fikirkan, apakah pahala puasa kita itu sempurna sifatnya?
Dalam kita menunaikan kewajipan berpuasa, apakah pekerjaan yang kita lakukan seharian itu membawa faedah kepada diri kita? Adakah kita hanya berlapar semata-mata? Atau, menerima imbalan pahala yang banyak di atas keikhlasan kita menunaikan kewajipan seorang muslim di bulan Ramadhan?
Kita lihat dari awal pagi kita bangun untuk bersahur. Kenangkan kembali, apakah kita ambil peluang di bulan suci ini untuk bangun 1 jam awal atau sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu bersahur untuk berqiamulail? Setidak-tidaknya, kita gagahkan diri bangun di sepertiga malam untuk mengerjakan Sunat Tahajud. Sesudah itu, barulah kita bersahur, dan seterusnya menunaikan solat Subuh.
Tahukah anda, bahawa Solat Tahajud itu besar fadhilatnya? Apatah lagi jika ambil peluang dan keberkatan Ramadhan ini yang hanya singgah sekali setahun.
Menunaikan tanggungjawab-tanggungjawab yang lain pada waktu siang hari. Di sini kita boleh mengambil beberapa aspek dari kehidupan seharian kita. Pertama sekali nafsu. Mata, mulut dan telinga, nafsu yang zahir mengajak kita melihat apa yang bukan hak kita, menjemput kita mengumpat dan mengata, serta mendengar perkara-perkara aib orang lain.
Di katakan syaitan itu dibelenggu di bulan Ramadhan ini, jadi siapakah yang menggoda kita untuk melakukan semua perkara lagha tersebut? Jawapannya, diri sendiri. Kalaulah kita sendiri tidak dapat menjinakkan nafsu yang ada pada diri kita, maka sia-sialah.
Boleh kita guna pakai satu amalan sepanjang kita hidup di dunia ini, bukan sekadar di bulan mulia ini iaitu basahkan bibir kita dengan istighfar. Selalulah beristighfar, sesungguhnya, setiap kali kita beristighfar, hilanglah satu tompokan hitam di hati kita yang hitam kelam ini.
Bila kita beristighfar, kita rasa rendah diri pada pencipta kita. Rasa malu kerana kita lalai dalam menunaikan hakNya. Menunaikan kewajipan dan meninggalkan apa yang di larang.Sungguhpun kita ini manusia biasa yang bukan ma'sum (yakni terpelihara daripada perbuatan maksiat) tetapi, adalah wajib bagi kita menunaikan seluruh perintah Allah S.W.T dan meninggalkan semua laranganNya.
Aurat, bagi kaum hawa pula, sempurnakah? Adakah menutup seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan? Adakah pakaian kita itu longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh? Adakah hijab yang dipakai menutup dada?
Masih belum sampai seru. Boleh jadi, tapi hormatilah bulan Ramadhan ini dengan cuba berpakaian yang lebih sopan. Sekadar menyarung tudung di kepala, tetapi menampakkan belahan di dada? Menutup seluruh badan, tetapi kain jarang memperlihat susuk tubuh?
Seringkali kita lihat di bulan-bulan puasa ini, pembaziran sering berlaku walaupun pada hakikatnya ianya adalah bulan berpuasa! Memberli pelbagai juadah yang akhirnya tidak terusik pun selepas berbuka, kerana kekenyangan. Malah, akhirnya menjadi isi tong sampah! Kenang-kenangkan kembali, insan-insan yang tidak ada kemampuan untuk menikmati kesenangan itu seperti kita, mungkin kita akan lebih waras ketika membeli juadah berbuka atau ketika menyediakan juadah.
Solat terawikh yang menjadi trend pada awal-awal Ramadhan telah banyak kita lihat di serata tempat. 1 Ramadhan, penuh jemaah di surau. Masuk hari ke 5, sudah tinggal separuh jemaah yang muncul. Tidak rugi kalau kita istiqamah menunaikan solat sunat terawikh di bulan mulia ini, walaupun sekadar 8 rakaat! Jika tidak berdaya menunaikan sebanyak 20 rakaat, 8 itu sudah lebih dari memadai. Tetapkan niat, kuatkan hati untuk beribadah. Sedarkah kita, kiranya, masih bernafas kita pada Ramadhan akan datang?
Tadarus Al-Quran, ataupun mengaji sendirian di rumah? Cuba kita ambil naskhah Al-Quran yang sudah berhabuk di atas almari itu, yang terselit di celah buku, yang sekadar menjadi perhiasan di dalam almari itu...Cuba kita baca ayat-ayat Al-Quran itu. Kita hayati maknanya...mungkin bukan sekadar pahala menjadi ganjarannya, malah pengetahuan dan kelembutan hati untuk terus istiqamah menyahut seruan untuk menunaikan ibadah secara ikhlas dan khusyuk.
Marilah kita sama-sama mengambil peluang ini. Sesungguhnya, kita tidak tahu kalau-kalau kita tidak lagi ada di dunia ini untuk Ramadhan akan datang...semoga di panjangkan umur kita untuk menemui Ramadhan tahun hadapan... :)
p/s: Tahun ni puasa penuh di Malaysia, yeay! :) Alhamdulillah~~~
0 bebelan kamu!:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.