Thursday, September 22, 2011

Indahnya Ramadhan 2011, Betapa Kini Aku Rindukan Ia

Salam alaykum...

Syawal kian sampai ke penghujungnya, namun hati aku masih jua tertaut rindu pada bulan Ramadhan yang telah berlalu pergi. Betapa kali ini terasa benar kehilangan. Entah kenapa.

Sungguhpun keriuhan Aidilfitri mulai terasa, namun aku tidak begitu teruja untuk menyambutnya. Malah sedih pula kerana mungkinkah aku bakal menyambut Ramadhan lagi di masa akan datang? Mungkin sedih kerana sepanjang bulan mulia Ramadhan ini, Allah telah mengurniakan pelbagai nikmat dan ketenangan kepada kami sekeluarga. Alhamdulillah.

Salam Aidilfitri, Salam Kemaafan :)

Bukan kerana tidak sudi menyambut kedatangan Aidilfitri, menyambut kejayaan menentang nafsu dan meningkatkan amal tetapi kerana aku takut melihat diriku selepas bulan Ramadhan. Apakah menjadi seorang yang bertakwa atau lebih lalai?

Aku manusia lemah. Aku amat berharap Allah tetapkan hatiku di jalan yang Dia redhai.

Pada hari pertama Ramadhan tahun ini, Allah telah kurniakan berita gembira buat aku dan rakan-rakan seperjuangan. Aku sampaikan berita gembira itu buat ayahanda dan bonda. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya, terlepas beban kerisauan di dada mereka tentang aku. Syukur pada Allah.

Berkat doa ayah dan mama, kejayaan menjadi milikku. Alhamdulillah...

Dapatlah aku pulang ke Malaysia pada minggu kedua Ramadhan yang lalu dan bersama-sama ayah dan mama menjalani ibadah puasa.

Sungguh, aku rindu pada Ramadhan. Bila lagi akan kita bertemu? Ya Allah, panjangkanlah umurku untuk bertemu dengan Ramadhan, panjangkanlah umurku untuk berbakti buat kedua ayah dan ibuku. Ameen...


0 bebelan kamu!:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts with Thumbnails